Tuesday, 28 May 2013

Faktor kejayaan anak-anak

ANAK-ANAK yang berjaya dunia dan akhirat adalah anak-anak yang seimbang hidupnya. Semua ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka berjaya tetapi sayangnya ada antara ibu bapa yang terlalu fokus kepada kejayaan akademik lebih daripada aspek-aspek yang lain. Malah ada ibu bapa yang obses semua 'A' dan sanggup berhabisan bagi memastikan anak-anak mereka mendapat kedudukan yang baik dalam kelas dan cemerlang dalam peperiksaan. Malah hari ini, anak-anak seawal usia lima tahun sudah dihantar ke kelas tuisyen di samping kelas tadika yang perlu dihadiri mereka setiap hari.
Dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa perlu pastikan empat perkara utama diberikan perhatian dan tumpuan yang sama iaitu aspek agama, sahsiah, pelajaran dan kemahiran.
1) Aspek agama
Ibu bapa wajib memastikan anak-anak diberikan pendidikan agama yang baik sejak usia anak dalam kandungan. Anak-anak perlu tahu cara wuduk dan solat yang betul, pandai membaca doa-doa lazim, berpuasa, pandai membaca al-Quran, ada ilmu asas fardu 'ain dan seumpamanya.
Tetapi kita perlu ingat, Islam bukan sekadar perkara ibadah sebaliknya Islam adalah satu cara hidup. Oleh sebab itu, anak-anak perlu didedahkan bagaimana Islam melengkapkan hidup ini dari segala bidang termasuk pergaulan, belajar, muamalat, munakahad dan segalanya. Perkara lain yang perlu ibu bapa tekankan ialah memastikan anak-anak mempunyai tauhid yang mantap. Sebab kegagalan untuk memahami aspek tauhid menyebabkan banyak perkara syirik yang dijadikan amalan dalam hidup hingga menjejaskan kekuatan rohani anak-anak.
2) Aspek sahsiah
Agama mampu membentuk sahsiah, tetapi kerapkali pembentukan sahsiah itu tidak diberikan keutamaan. Malah, mereka yang bukan Islam memiliki sahsiah yang baik kerana ibu bapanya menekankan aspek nilai dan moral dalam mendidik anak-anaknya. Kita lihat di negara Jepun misalnya, masyarakat Jepun mempunyai sistem nilai yang tinggi seperti jujur, menjaga kebersihan, menepati masa, menghormati orang, mentaati ketua, disiplin kerja yang tinggi dan seumpamanya. Sebenarnya, semua ini sudah ada dalam Islam. Tetapi kenapa kita orang Islam tidak mampu menandingi apa yang ditunjukkan oleh Jepun? Sebabnya, cara kita mendidik dan membesarkan anak-anak tidak tegas dalam aspek pembentukan akhlak dan sahsiah.
3) Aspek pelajaran
Aspek ketiga barulah pelajaran. Sebab tiada maknanya kalau anak-anak kita menjadi orang bijak pandai tetapi tidak berpegang kepada agama dan memiliki moral yang teruk. Kata orang bijak pandai, "mendidik anak-anak menjadi pandai tanpa nilai agama hanya menjadikan mereka syaitan yang bijaksana." Dalam memberikan pelajaran kepada anak-anak, ibu bapa perlu tahu kecenderungan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak boleh memaksa anak-anak untuk menjadi doktor, jurutera atau pun peguam hanya kerana itulah yang ibu bapa mahukan. Ibu bapa perlu lihat bakat dan potensi anak-anak lalu memberikan mereka bimbingan dan dorongan bersesuaian dengan fitrah anak itu sendiri. Ibu bapa juga tidak boleh ambil mudah soal pelajaran anak-anak. Kita perlu memberikan komitmen sepenuh hati bagi memastikan anak-anak mampu menguasai pelajaran dengan baik lalu memperolehi keputusan yang membanggakan. Malah ibu bapa perlu berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan emosi dalam membantu anak-anak menjadi orang hebat.
4) Aspek kemahiran
Tidak semua anak-anak boleh cemerlang dalam pelajaran, itu fakta. Oleh itu ibu bapa perlu pantas mengenalpasti bakat dan kemahiran anak-anak mereka untuk dipupuk menjadi aset diri mereka apabila dewasa nanti. Ada anak-anak yang lebih terserlah dalam bidang lain seperti sukan, perniagaan, komunikasi, masakan, pertukangan, gubahan, lukisan, jahitan dan sebagainya. Usah pandang rendah dengan bidang kemahiran sebab ia boleh dijadikan sumber rezeki yang lumayan satu hari nanti. Realiti hidup ini, mereka yang bijak memanfaatkan bakat dan kemahiran terbukti lebih kaya dan berjaya dalam hidupnya berbanding dengan mereka yang lain. Malah mereka inilah yang membuka gedung-gedung perniagaan yang besar lalu menggaji pekerja-pekerja yang mempunyai kelulusan yang tinggi termasuk yang memiliki Ijazah Sarjana dan Ph.D. Sebab itulah, sebagai ibu bapa kita hendaklah berlapang dada dalam menerima kekurang dan kelebihan anak-anak. Antara kemahiran lain yang juga penting ialah kemahiran sosial. Anak-anak yang memiliki kemahiran sosial yang tinggi bijak bergaul, memimpin dan mempengaruhi orang lain. Anak-anak ini apabila bekerja nanti sering mendapat kenaikan pangkat, dilantik sebagai ketua, mempunyai pengikut dan bijak mengendalikan orang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130526/ke_03/Faktor-kejayaan-anak-anak#ixzz2UcIBrp2P
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment